Ramai Tak Ambil Berat Muflis Akhirat

Fenomena individu yang diisytiharkan muflis telah meningkat dari tahun ke setahun. Menurut laporan Jabat Insolvensi Malaysia, pada tahun 2010 seramai 38,267 individu berusia antara 23 hingga 44 tahun telah diisytiharkan muflis dengan purata seramai 21 orang jatuh bankrap dalam tempoh satu hari. 
   
   Itu adalah senario muflis dunia masa kini yang semakin menular dan merebak luas dalam kalangan masyarakat. Gaya hidup serba mewah tanpa ikut ukuran 'baju sendiri' telah menjadi perangkap maut kepada individu yang lalai mengendalikan nafsu dalam menggayakan corak kehidupan.


Muflis Akhirat 

Tetapi jarang sangat kita mahu mengambil berat akan satu lagi petaka muflis yang lebih dahsyat impaknya iaitu 'muflis akhirat'. Kamus Dewan tidak ada kosa kata ini untuk diberikan makna tetapi kita masih boleh mendapat pengertian menerusi penerangan yang disampaikan Baginda SAW.

   Muflis di dunia kita masih ada ruang dan peluang untuk memperbetulkan keadaan, tetapi muflis akhirat lansung tertutup sebarang ruang untuk memulihkannya kembali. Hanya balasan azab Allah saja yang tersedia buat individu yang muflis akhirat itu.

   Dunia tempat beramal dan akhirat tempat menerima balasan. Hakikat inilah sewajarnya kita insafi supaya tidak termasuk dalam kategori mukmin yang akan diisytiharkan muflis di akhirat kelak.

   Sahabat Rasulullah SAW, Abu Hurairah ada menceritakan suatu hari Baginda SAW pernah mengajukan pertanyaan kepada sahabatnya, "Adakah kamu tahu, siapakah orang muflis ? Lalu sahabat menjawab, Antara kami, orang yang muflis adalah orang tidak mempunyai sebarang harta walaupun satu dirham.

   Begitulah berterus-terang saja sahabat Baginda menjawab soalan. Dan seandainya soalan itu juga yang ditanya kepada kita, rasanya itu juga jawapan yang akan kita berikan.

Amalan baik untuk tebus dosa

Kemudian, Baginda SAW memberikan ulasa berkenaan orang yang muflis itu. Kata Baginda, "orang muflis adalah orang yang pada hari kiamat, dia datang dengan membawa amalan solat, puasa dan zakatnya, tetapi dia mencaci orang, membuat tuduhan palsu padanya, makan harta orang dengan cara yang salah, menumpahkan darah dan memukul orang. Maka Allah memberikan balasan amal kebaikannya itu kepada orang yang dianiaya. Apabila amalan kebaikanya itu habis diberikan sedangkan tuntutan kesalahannya belum selesai, maka Allah mengambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan ditanggung oleh orang yang menganiaya itu. Dia kemudian dicampakkan ke neraka." (Riwayat Muslim)

   Ini satu peringatan serius yang disampaikan Baginda SAW kerana semsa hidup di dunia yang sentiasa dihambat kenikmatan dan mengejar pesona dunia, kita sering lalai. Ada juga yang hanya memfokuskan kepada tuntutan amalan syariat fardi seperti solat dan sebagainya, tetapi kurang ambil berat dalam hubungan kemanusiaan.

   Pesanan Baginda SAW itu sebenarnya mendidik kita supaya menseimbangkan kedua-dua bahagian, iaitu menjaga amalan beribadah kepada Allah dan memelihara kaedah bermasyarakat dalam acuan akhlak yang mulia.

   Ini bermakna, penilaian untuk memberikan "markah akhir" yang akan menentukan diri kita menuju ke syurga Allah penuh nikmat ataupun tercampak ke jurang neraka yang beraneka azab seksa ialah berpandukan markah kelakukan sesama insan.

   Meskipun kita menerima markah tertinggi dalam hubungan dengan Allah tetapi marka itu akan dicampurkan dengan markah hubungan sesama manusia. Jadi berwaspadalah dan beringat dengan inti pati pesanan Rasulullah SAW itu.



No comments:

Post a Comment